Wednesday, 29 May 2013

PERTEMPURAN BUKIT CANDU

Pertempuran Bukit Candu adalah satu pertempuran semasa serangan Jepun ke atas Singapura semasa Perang Dunia II. Pertempuran ini menjulang nama Rejimen Askar Melayu menjadikannya satu pasukan tentera yang disegani di kalangan pasukan tentera Komanwel.
Pertempuran ini adalah sebagai lanjutan kepada Pertempuran Pasir Panjang yang berlaku pada hari sebelumnya. Pertempuran ini juga menampilkan keberanian askar Melayu, khususnya Leftenan Muda Adnan bin Saidi yang sanggup berkorban semasa memberikan tentangan berhabis-habisan kepada askar Jepun.

Tuesday, 28 May 2013

PENUBUHAN RAMD


Sejak penjajahan oleh Kerajaan Kolonial British, pasukan-pasukan Tentera British dan juga Tentera British India (British Indian Army) seperti pasukan “Burma Rifles” telah ditugaskan untuk mengawal keselamatan. Ini melibatkan kos yang tinggi kerana pasukan-pasukan itu terpaksa dibawa daripaada Britain dan India untuk berkhidmat di Tanah Melayu.
Semenjak tahun 1902, Raja-Raja Melayu terutamanya Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan), Raja Chulan (Kerabat DiRaja Perak) dan Dato Abdullah Haji Dahan (Undang Luak Rembau) telah menggesa Kerajaan Kolonial British di Malaya untuk menubuhkan satu rejimen tentera yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.
Pada 23 November 1932, Jabatan Perang British memberikan persetujuan untuk penubuhan satu pasukan Askar Melayu sebagai satu rejimen tempatan dalam Angkatan Tentera British (Rejimen ini dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya). Pada 23 Januari 1933, Majlis Perundingan Persekutuan (Federal Consultative Council) telah meluluskan Akta No. 11 yang dikenali dengan nama Akta Rejimen Askar Melayu dan meluluskan peruntukan $70,000 bagi pembelian Kong Sang Rubber Estate di Port Dickson untuk tapak bagi kegunaan sebagai Pusat Latihan Rekrut Askar Melayu.
Pasukan Askar Melayu bermula dengan penubuhan Kompeni Percubaan Pertama (1st Experimental Company) pada tahun 1933 dan merupakan titik permulaan pasukan tentera anak watan di Tanah Melayu.
Pada 1 Februari 1933, seramai 25 orang anak Melayu daripada 100 orang calon telah dipilih sebagai “sesuai untuk diambil menjadi rekrut” di dalam pasukan Askar Melayu.
Pasukan Askar Melayu ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1933 di Haig Lines,Port Dickson,  Negeri Sembilan. Pasukan ini di letakkan di bawah perintah Mejar G. Mc Bruce , sementara Kapten K.G. Exham dilantik menjadi Adjutan. Sarjan Mejar A. E. McCarthy dilantik menjadi Sarjan Mejar Rejimen dan Sarjan Kuartermaster E. Oldfiled menjadi Sarjan Kuartermaster .
Pasukan ini dikira sebagai percubaan kerana pada peringkat itu, ia bertujuan untuk menilai kesesuaian orang-orang melayu sebagai anggota tentera, dan bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri dengan disiplin tentera (Mejar Jeneral G. Mcl. S. Bruce, O.B.E. M.C. (bersara)

PERMULAAN

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia, hari ini secara rasminya blog ini beroperasi.Blog ini akan menceritakan tentang sejarah RAMD khususnya  dan Angkatan Tentera Malaysia amnya.Sesiapa yang mempunyai cerita yang mahu dikongsikan boleh diemelkan kepada saya (mfaiz987@gmail.com).Setakat ini saja buat sementara waktu,semoga kita bertemu lagi.